Khamis, 26 Ogos 2010

Telan Kahak Semasa Puasa

Feqah: Puasa


Soalan:
Salam,
BAHEIS kata telan kahak batal puasa:
Saya rujuk arkib AAN mostly quote Uthmain dan kata telan kahak tak batal sekalipun sengaja.
Boleh ulas?
p/s: sebab dah tertelan kahak kat tekak tadi.. takkan nak ulang puasa pulak lagipun selama ni belajar (tanpa dalil) telan kahak kat tekak tak batal.. alih-alih BAHEIS ni bagi pendapat menyusahkan pulak.
Jawapan:
بسم الله
والحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه أما بعد

Kahak yang belum sampai ke anggota mulut, yakni masih berada pada had tengkuk tidak membatalkan puasa jika ditelan. Kerana ia masih tidak keluar daripada anggota zahir.
Kahak yang sudah sampai pada mulut, inilah yang menjadi khilaf adakah membatalkan puasa atau tidak. Ada pendapat yang mengatakan batal dan ada pendapat yang mengatakan tidak batal. Kedua-dua pendapat ini adalah pendapat yang muktabar di dalam Feqah Islam. Jadi, tidak boleh mencela pendapat yang bersalahan dengan pendapat yang kita pegang.
Syeikh Uthaimin (seperti yang saudara nyatakan) mentarjihkan tidak membatalkan puasa jika ditelan. Tetapi dalam masa yang sama beliau berpendapat HARAM menelannya dengan sengaja kerana ia adalah kotoran. Jadi, ada dua persoalan: 1) kahak yang sampai ke mulut haram ditelan. 2) Jika ditelan tidak membatalkan puasa di sisi sebahagian ulama.

Batuk, Bersin Semasa Solat dan Puasa

Feqah: Puasa Soalan:
Semasa batuk dan bersin kita banyak rembeskan air liur ke dalam mulut…
1- Sekiranya batuk/bersin semasa solat perlu ke berhentikan solat untuk berkumur dengan air mutlak sebelum mula solat balik? Takut tertelan air liur yg asalnya bukan dari mulut.
Begitu juga semasa puasa, perlu ke berkumur dengan air mutlak ?
2- Bagaimana sekiranya di dalam solat, sekiranya ada makanan di mulut dan kita ludahkan, boleh ke telan air liur selepas tu, sebab mulut dah berperisa makanan tadi
3- Begitu juga contohnya sebelum solat makan kurma seketul, wajib ke berkumur dengan air mutlak? Atau sekadar minum air kosong segelas dan terus mula solat?
Boleh ke lepas makan kurma terus je solat?
Jawapan:
بسم الله
والحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه أما بعد

1. Batuk dan bersin adalah dua aktiviti refleks yang normal bagi tubuh manusia. Ia tidak menjejaskan solat dan tidak perlu berhenti solat untuk berkumur. Begitu juga tertelan air liur dalam solat tidaklah membatalkan solat.
Kata Imam Nawawi, “Jika tertelan sesuatu yang tidak dapat dikawal, contohnya air liur tertelan dengan membawa sisa makanan tanpa sengaja, maka tidak membatalkan sembahyang dengan sepakat”. (Majmuk 4/89-90)
Begitu juga halnya dengan puasa. Ia dimaafkan.
2. Sudah terjawab dalam jawapan no: 1.
3. Sebaik-baiknya selepas makan, hendaklah berkumur-kumur dahulu sebelum masuk sembahyang. Sebagaimana sabit dalam hadis Suwaid bin al-Nukman dalam kisah Peperangan Khaibar, baginda makan di satu tempat bernama al-Sahba’. Lalu sebelum sembahyang baginda berkumur-kumur dan para sahabat juga berkumur-kumur. Lihat Sahih Bukhari (hadis no: 2819)
Wallahu A’lam.

1: Haid dan Puasa

Soalan:
Salam…
Sedikit kemusykilan ttg puasa. Saya mendapati ada sedikit kesan menandakan permulaan haid pada waktu sahur, tetapi keesokan paginya kesan itu hilang sedangkan saya telah berniat puasa sebelumnya. Adakah saya boleh meneruskan puasa?
Jawapan:

بسم الله
والحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه أما بعد

Apa yang difahami dari saolan saudari ialah:
Saudara telah berniat pada waktu malam untuk berpuasa. Kemudian, sebelum Subuh saudari mendapati ada kesan darah dan menyangka ia adalah haidh. Maka sudah pasti saudari membatalkan niat untuk berpuasa (kerana wanita haidh haram berpuasa). Tiba-tiba keesokannya saudari mendapati ia bukanlah darah haidh. Jadi adakah boleh meneruskan puasa?
Dalam kes seperti ini, niat pertama sudah dikira gugur kerana saudari telah meninggalkan niat tersebut. Jadi, puasa untuk hari tersebut tidak sah kerana saudari dikira tidak berniat puasa pada waktu malam. Tetapi wajib diteruskan imsak hari tersebut.
(Majmuk Nawawi 6/299)
Wallahu A’lam

Mengeluarkan Mani Dengan Sengaja Semasa Puasa

Soalan:
Assalamualaikum..
Saya nak tanya sesuatu. Ketika itu tiba-tiba saya menonton video yang membuatkan sedikit air mani saya terkeluar. Selepas itu saya terus mengeluarkan dengan sengaja kerana saya ingin melepaskan hawa nafsu saya dan tidak mahu menonton video tersebut lagi. Saya sedar perbuatan saya itu sangat keji dan saya tidak akan mengulanginya lagi. ::oops: Tetapi adakah saya hanya perlu mengqada’kan puasa?? Atau sebaliknya??
Tolong jelaskan soalan saya ini.
Terima kasih.
Jawapan:

بسم الله
والحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه أما بعد

- Hendaklah disedari bahawa perbuatan tersebut adalah haram, dan lebih dahsyat haramnya pada bulan Ramadhan kerana mencemarkan bulan yang mulia dengan maksiat.
- Maka hendaklah bertaubat daripada dosa tersebut, dan daripada dosa mencemarkan Ramadhan dengan maksiat kepada Allah.
- Dari sudut puasanya, jumhur ulama mengatakan batal puasa dengan perbuatan onani. Iaitu Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali. Maka hendaklah diqadha’kan selepas Ramadhan.
Rujukan:
- Majmuk Fatawa Ibn Taimiyyah 15/267
- Syarh Mumti’ 6/234-235
Jawapan asal penulis di Al-Ahkam.Net